suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kajian dedah tidur sambil peluk baju pasangan bantu dapat rehat lebih berkualiti, bau dihasilkan setanding suplemen melatonin

Siapa sangka, tabiat romantik yang biasa pasangan suami isteri buat bila terpaksa berjauhan ini rupa-rupanya disokong oleh fakta sains. -Gambar hiasan AI

TABIAT tidur sambil memeluk atau meletakkan baju yang sudah dipakai pasangan di atas bantal sering dianggap sekadar tindakan romantik atau melepaskan rindu.

Namun, tahukah anda kebiasaan tersebut sebenarnya terbukti secara saintifik mampu meningkatkan kualiti tidur seseorang walaupun pasangan tidak berada di sisi?

Perkara itu didedahkan menerusi satu kajian psikologi dijalankan penyelidik dari Universiti British Columbia (UBC), Kanada yang mendapati bau semula jadi pasangan memberi kesan menenangkan ketika tidur.

Penulis utama kajian tersebut yang juga pelajar doktor falsafah (PhD) Jabatan Psikologi UBC, Marlise Hofer berkata, pendedahan kepada bau pasangan sepanjang malam terbukti meningkatkan kecekapan tidur secara menyeluruh.

"Dapatan kami memberikan bukti baharu bahawa tidur bersama bau pasangan mampu meningkatkan kecekapan tidur.

"Malah, kesan dilihat adalah setanding dengan pengambilan suplemen melatonin secara oral yang sering digunakan sebagai bantuan untuk tidur," katanya.

Dalam kajian diterbitkan di bawah jurnal Psychological Science itu, seramai 155 peserta diminta menyarungkan dua helai baju-T yang kelihatan serupa pada bantal mereka secara bergilir-gilir untuk empat malam.

Salah satu daripada baju tersebut telah dipakai oleh pasangan masing-masing selama 24 jam tanpa sebarang penggunaan deodoran, minyak wangi atau produk berbau kuat sebelum dibekukan bagi mengekalkan aroma semula jadi.

Manakala sehelai lagi baju merupakan baju bersih atau telah dipakai oleh individu tidak dikenali.

Sepanjang tempoh eksperimen, peserta tidak diberitahu baju mana yang mengandungi bau pasangan mereka, selain kualiti tidur dipantau secara objektif menggunakan jam tangan khas pengesan pergerakan.

Hasil analisis mendapati peserta bukan sahaja berasa lebih segar pada keesokan harinya, malah data jam pengesan menunjukkan mereka kurang berpusing atau terjaga pada waktu malam apabila tidur bersama baju pasangan masing-masing.

Lebih menarik, peningkatan kualiti tidur kira-kira dua peratus itu tetap berlaku meskipun peserta tidak menyedari atau gagal meneka dengan tepat baju yang sedang mereka gunakan.

Menurut penyelidik bersama kajian itu, Profesor Madya Dr Frances Chen, penemuan berkenaan membuktikan otak manusia bertindak balas secara semula jadi terhadap bau individu yang memberi rasa selamat.

Disebabkan itu, bagi pasangan jarak jauh atau individu yang sering berdepan masalah sukar tidur ketika bekerja di luar kawasan, membawa bersama baju yang sudah dipakai pasangan boleh dijadikan alternatif mudah dan berkesan untuk mendapatkan rehat berkualiti. -Agensi

Artikel Lain